Tuesday, August 4, 2009

UPSI diserang H1N1........

Pada 29 haribulan 7, semua student upsi diarahkan pulang ke kampung masing2 kerana UPSI diserang oleh virus H1N1 atau nama lainnya ialah selesema babi...
pada hari kejadian semua pelajar UPSI kelam kabut cari tiket balik kg termasuk jgk lah aku n d gengs...hehehehhehe... fikiran tension sgt time tu coz semua tket blik cuti midsem dah beli tambahan pulok duit ptptn dh pokai...huhuhu. terpaksa lah aku n kwn yg lain beli tket lain.. tket yg dh beli aku jual balik, itupun klu ade org beli.. tiba2 datanglah sekumpulan budak laki yg suke yibok iaitu busu,pp n lemy mr rmh aku... diorang mari saje2 je coz aku n bdok rmh tu baik dgn bdk2 ni kirenya rpt lah jgk coz sama course kat UPSI... tanpa membuang masa, aku n farhan pun pinjam motor lemy coz nk g beli tket jap.. merempitlah aku dgn farhan 2 org naik motor.. lama aku dok naik motor coz aku ni nakut naik motor...
mujur gok tket blik trganu ade lg.. syukur tp kene blik pg esok jgk..huhu... tkpelah asalkan ade tket blik kg... lama kemudian kak yg jual tket pun msg kat aku kabo blh blik trganu mlm tu jgk... hati aku bkn main hepi sgt coz dpt blik mlm tu jgk..hooreyyyyyyy!!!!!
dpt jgk lah buah hati pengarang jantung aku ambik aku kat bus stop kat dungun keesokkanya...
terubat rindu kat abg sayang aku ni iaitu bakal suami aku...hehehehhe...
best ngat dpt jupe my love, maklumlah aku ni dok blh sgt kuor dgn die coz mok n ayh aku ni dop sporting sgt bab2 kuor dating... tp tkpe aslkan diorang doh berkenan kat buah hati aku ni n suke kat my love.... pd hr tu jgk aku g dating dgn my love aku... pd hr ni mok n ayh aku bg g dating coz aku bkn g sokmo2... jrg2 sekali blh lah kuor sama n bru mok aku bg, klu kuor sokmo mak n ayh aku dok bg lah.... tkpelah aslkan kedua-dua phk suke doh....... hahahhahahaha
sepanjang UPSI cuti seminggu sbb H1N1, aku duk rmh je lah.... nk stdy tuk prepare midterm tkdok mood stdy..huhuhu... borinkk duk rmh semgu coz my love g laut doh.. nk msg2 dok blh doh, jz tgu my love col je lah mlm2...huhuhu.. tkpelah amanat keje n aku fhm keje my love...hehehehhe.... kesimpulannya, aku hepy coz UPSI ttp coz blh kau blik kg n jupe my love n dpt mkn buah..hahhahahahha

Friday, May 15, 2009

Tiada kompromi jika projek kampus lewat



SEBUAH bilik rumah kedai yang dijadikan dewan kuliah untuk pelajar UPSI di Tanjung Malim.



KERATAN Kosmo! semalam.





PUTRAJAYA - Kementerian Pengajian Tinggi akan memastikan projek kampus baru Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim berjalan lancar sehingga ia siap mengikut jadual pada 2010.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan, pihaknya tidak mahu berkompromi dengan sebarang kelewatan memandangkan jika itu yang berlaku, kesulitan kakitangan serta para pelajar UPSI yang terpaksa belajar di rumah-rumah kedai di luar kampus akan berterusan.

"Disebabkan kepentingan itu, saya sendiri akan memberi perhatian terhadap projek ini," katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman di antara Universiti Utara Malaysia dan ACCA Malaysia Sdn. Bhd. di sini semalam.

Kosmo! semalam melaporkan tentang nasib pelajar-pelajar di UPSI yang terpaksa meneruskan pengajian di rumah-rumah kedai ekoran kampus induk mereka sudah sesak.

Pihak pengurusan UPSI bimbang masalah itu akan menjadi lebih rumit dengan kemasukan kira-kira 5,000 pelajar baru pada Julai ini.

Masalah yang dihadapi itu berpunca daripada kampus induk yang sudah sesak selain projek kampus baru di Behrang Ulu terlewat daripada jadual selama tiga bulan.

Buat masa ini, Mohamed Khaled meminta kakitangan dan pelajar UPSI supaya bersabar sementara masalah tersebut ditangani dengan siapnya projek kampus baru kelak.

Thursday, May 14, 2009

Kuliah UPSI macam pusat tuisyen - Kampus UPSI kian sesak, 9,000 mahasiswa belajar dalam rumah kedai



BELAJAR di rumah kedai yang diubahsuai menjadi bilik kuliah menyebabkan ramai pelajar UPSI di Tanjung Malim berasa tidak selesa.


TANJUNG MALIM - Nama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) gah sebagai institusi pendidikan unggul tertua di negara ini, namun jangan terkejut jika sebahagian besar pelajarnya kini terpaksa menimba ilmu di kelas-kelas dalam deretan rumah kedai.

Itulah realiti yang terpaksa dihadapi kira-kira 9,000 pelajar UPSI gara-gara kampus induk mereka di sini sudah tidak mampu menampung pertambahan pelajar.

Kebanyakan bakal guru siswazah itu belajar dalam suasana yang kurang selesa di rumah-rumah kedai yang kelihatan seperti pusat tuisyen swasta.

Daripada 16,000 pelajar, hanya 7,000 yang dapat meneruskan pelajaran menggunakan kemudahan dalam kampus UPSI.

Tinjauan Kosmo! di beberapa kawasan rumah kedai sekitar universiti tersebut semalam mendapati pihak pengurusan UPSI terpaksa menyewa 29 unit rumah kedai dan mengubahsuainya menjadi 53 bilik kuliah.

Antara rumah kedai itu ialah 13 unit di Taman U mengandungi 39 bilik kuliah dan 16 unit di Taman Bernam Baru dengan 14 bilik kuliah dan lapan buah makmal.

Lot-lot kedai yang disewa telah diubahsuai sepenuhnya bagi dijadikan bilik kuliah, makmal, surau, bilik-bilik pensyarah, pejabat am, pejabat penolong pendaftar, bilik rehat pelajar dan bilik keselamatan.

Malah, bagi mengasingkan kesemua blok yang disewa pihak pengurusan terpaksa meletakkan pagar di kaki lima premis tersebut demi menjaga keselamatan pelajar.

Bagaimanapun, pihak pengurusan UPSI difahamkan bakal berdepan masalah baru apabila seramai 5,000 pelajar baru dijangka mendaftar pada Julai ini kerana jumlah bilik kuliah yang terdapat di deretan kedai itu juga sudah tidak mencukupi.

Untuk itu, UPSI mungkin terpaksa menyewa premis baru di Proton City bagi menampung para pelajar baru.

Kos pengubahsuaiannya mencecah RM500,000 bagi 14 bilik kuliah.



Sunday, March 22, 2009

Ramai guru sakit jiwa

Profesion perguruan terdedah kepada risiko tinggi untuk mengalami tekanan mental.


PESAKIT mental terpaksa berjumpa pakar psikiatri secara berkala.


BEBANAN kerja sebagai guru semakin kompleks kerana selain mengajar, mereka juga terpaksa menyediakan soalan-soalan peperiksaan dari semasa ke semasa, mengisi buku kedatangan, buku disiplin dan ringkasan mengajar, borang kesihatan dan rekod kemajuan murid, kelab dan persatuan, serta mengendalikan persiapan hari sukan.

Justeru, guru-guru dikatakan terdedah kepada risiko tinggi untuk mengalami tekanan sehingga boleh membawa kepada penyakit mental yang serius seperti bipolar, kebimbangan melampau dan kemurungan.

Kajian oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendapati 70 peratus daripada 9,000 guru di seluruh negara tertekan bukan sahaja kerana beban tugas tetapi juga terpaksa berdepan dengan kerenah pengetua, kerani, ibu bapa dan juga pelajar.

Bagi Noreha (bukan nama sebenar), selain terpaksa berdepan dengan masalah rumah tangga, dia turut tertekan dengan kerenah pengetua sekolah tempatnya bertugas.

Guru berusia 46 tahun itu yang ditemui di Wad Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berkata, dek kerana tekanan, dia sering diketepikan dalam pelbagai aktiviti sekolah.

"Sebelum ini saya memang sudah mengalami tekanan. Pengetua pula selalu mempertikaikan cuti yang saya pohon sedangkan surat daripada doktor disertakan.

"Bila kerja semakin bertambah, dicampur pula dengan tekanan daripada orang atas dan kerenah anak-anak, saya semakin runsing," katanya.

Noreha yang merupakan penanda kertas peperiksaan Matematik untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) memberitahu, dia sebenarnya seronok menjadi guru.

"Saya memang suka mengajar, lebih-lebih lagi apabila murid banyak bertanya dan cemerlang dalam peperiksaan. Tetapi keadaan sekeliling seperti pengurusan sekolah dan rakan sejawatan banyak memberi tekanan.

"Ada juga yang faham keadaan saya, tetapi lebih ramai yang mengatakan saya gila. Mereka tidak faham mengapa saya perlu cuti untuk pergi berjumpa pakar psikiatri. Mereka juga anggap saya terlalu ikutkan perasaan," jelasnya.


HARAPAN yang tinggi terhadap keputusan peperiksaan pelajar turut memberi tekanan kepada golongan guru.


Noreha yang berasal dari Pulau Pinang tidak menafikan pihak sekolah ada memberi pelepasan kepadanya tetapi apa yang menyesakkan fikirannya ialah cutinya sering menjadi buah mulut orang.

Ada yang mendakwa Noreha sengaja menjadikan tekanan yang dialaminya sebagai alasan untuk bercuti.

"Secara fizikalnya saya memang sihat, tetapi dalaman saya berkecamuk. Saya bukan buat-buat sakit. Ikutkan hati, saya tak mahu masuk hospital dan tinggalkan keluarga dan kerjaya saya," katanya.

Ibu kepada dua orang anak ini juga memberitahu, dia cuba untuk mengawal perasaannya daripada terus tertekan, tetapi adakalanya semakin dia cuba untuk tenang, semakin agresif pula jadinya.

"Kadang-kadang saya tak rasa tertekan. Saya rasa sihat, tetapi orang sekeliling tak anggap begitu, mereka mula sorokkan pisau. Kebelakangan ini saya kerap dimasukkan ke wad berbanding dulu," katanya.

Kerja tujuh hari seminggu

Berbeza dengan Norehan, akibat terbeban dengan kerja sebagai guru JQAF, Zaimah Mishan, 42, pernah mengalami sakit jiwa.

Dia yang mengajar sekolah aliran agama tidak mampu untuk menanggung beban tersebut lebih-lebih lagi banyak masa dihabiskan di sekolah berbanding bersama keluarga.

"Saya pernah mengalami masalah jiwa iaitu kecelaruan bipolar sehingga saya tidak mampu mengajar. Enam bulan saya dirawat dan direhatkan.

"Ramai melihat guru JQAF tidak banyak kerja memandangkan mereka hanya mengajar agama tidak seperti sekolah aliran kebangsaan. Namun, mereka juga dibebani dengan komitmen luar," katanya.


NOR ZURAIDA





Zaimah yang pernah mengajar di beberapa buah sekolah berkata, ada pengurusan sekolah yang memahami tanggungjawab guru JQAF namun ada juga sekolah yang menyamakan guru JQAF seperti guru-guru lain.

"Semasa saya mengajar di sekolah A, saya pernah bekerja tujuh hari seminggu, dari pagi hinggalah petang sampaikan tiada masa untuk suami dan anak-anak.

"Hari Isnin hingga Jumaat, saya mengajar seperti biasa. Kadang-kadang saya diminta menggantikan guru lain mengajar subjek bukan aliran JQAF.

"Hari Sabtu pula, ada kegiatan kokurikulum yang mana semua guru terlibat dan hari Ahad pula saya selaku guru JQAF diwajibkan terlibat dalam Kem Bestari Solat," katanya.

Menurut Zaimah, beban terlalu berat yang tidak dipantau oleh pegawai yang sepatutnya itu ternyata memberi kesan kepada guru-guru JQAF.

"Kami terbeban, tersepit, letih, dan hampir kena mental block. Masa yang ada untuk berehat ialah waktu malam, itu pun kami terpaksa bawa pulang buku latihan murid-murid untuk ditanda.

"Itu tidak termasuk kursus atau kertas kerja yang perlu dibereskan untuk aktiviti gerak kerja," katanya.

Zaimah yang baru lima bulan mengajar semula selepas bercuti panjang menjelaskan, keadaan dirinya ketika 'sakit' dahulu bertambah teruk lebih-lebih lagi apabila suaminya berkahwin lain dan anak-anak enggan berjumpa dengannya.

"Bila saya tertekan dengan kerja, suami kata dia nak kahwin lain dengan alasan saya terlalu sibuk dengan kerja. Keadaan saya bertambah teruk waktu itu.

"Bila sakit saya datang, anak-anak tidak mahu dekat dengan saya. Hanya keluarga saya yang datang memberi sokongan untuk saya jalani terapi dan rawatan di hospital.

"Selepas bercuti lama, saya mengajar di sekolah lain. Alhamdulillah, selepas menjalani rawatan dan sesi kaunseling, saya sudah boleh mengawal tekanan di tempat kerja. Suami dan anak-anak pula sudah kembali pada saya," katanya.

Berisiko mendapat penyakit kritikal

MENURUT Pakar Perunding Kanan Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Nor Zuraida Zainal, setiap tahun dianggarkan 22,000 pesakit mendapatkan rawatan di klinik dan wad psikiatri hospital berkenaan. Kira-kira 10 peratus daripada mereka terdiri daripada golongan guru.

“Guru sekarang tidak seperti guru zaman dahulu. Guru sekarang terbeban kerana banyak tugasan baru yang perlu dilaksanakan selain mengajar.

“Di samping sibuk dengan aktiviti persatuan, panitia, kelab, rumah sukan, kursus dan gerak kerja luar sekolah, guru-guru juga perlu berdepan dengan tekanan lain.

“Mereka turut berhadapan dengan perangai pelajar dan kerenah ibu bapa serta pengetua yang sentiasa menaruh harapan tinggi untuk melahirkan pelajar cemerlang dalam peperiksaan,” katanya.

Ramai ibu bapa, tidak kira di bandar atau di luar bandar, masih menganggap bahawa sekolah dan pusat tuisyen ialah tempat untuk mendidik anak mereka dan menyerahkan tanggungjawab itu sepenuhnya kepada guru.

Apabila ada anak yang gagal, sesetengah ibu bapa terus menuding jari kepada guru sedangkan kejayaan para pelajar tidak hanya bergantung kepada pengajaran di sekolah.

Bercakap mengenai gejala tekanan yang sering dialami oleh pesakit-pesakitnya yang juga guru, Nor Zuraida memberitahu, kebanyakan mereka menghidap kecelaruan bipolar iaitu kewujudan pelbagai karakter yang berlawanan dengan keadaan guru terbabit sebelumnya. Ini diikuti kebimbangan melampau dan kemurungan.

“Mereka yang mengalami kecelaruan bipolar nampak sihat seperti biasa, malah pada tahap hipoaktif, mereka menjadi rajin dan produktif dalam melakukan sebarang kerja walaupun tidak mempunyai waktu rehat yang cukup.

“Tetapi kerja yang dilakukan tidak pernah habis dan ini yang mendatangkan sangsi kepada orang di sekeliling mereka,” katanya.

Tiga faktor utama yang menyebabkan tekanan ialah keturunan, faktor sekeliling seperti kerja dan jaringan sosial seperti keluarga, rakan-rakan dan masyarakat.

Sekiranya terdapat keturunan yang mempunyai masalah jiwa, risiko untuk guru mendapat tekanan menjadi lebih tinggi.

Malah, jelas Nor Zuraida, guru yang tertekan berisiko empat kali ganda lebih tinggi untuk mendapat penyakit kritikal seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang.

“Tanda-tanda awal penyakit ini bermula dengan kemurungan. Guru akan mula hilang tumpuan mengajar, bosan, pendiam dan jika berlarutan mereka tidak mampu lagi untuk mengajar dan melakukan aktiviti harian.

“Sekiranya wujud keadaan-keadaan seperti ini, pihak pengurusan sekolah perlu memahami dan membantu guru berkenaan dengan mengurangkan waktu dan kelas mengajar serta memberi kelonggaran untuk menjalani terapi dan kaunseling,” jelas Nor Zuraida.

Wednesday, March 4, 2009

Antara isu beg berat, pelajar enggan bawa buku

APABILA terbaca laporan Berita Minggu baru-baru ini mengenai sikap pelajar yang enggan membawa buku teks ke sekolah, teringat kepada satu lagi isu yang juga berkaitan buku sekolah iaitu isu beg berat, yang heboh diperkatakan beberapa tahun yang lalu.

Isu itu menjadi hangat dan mendapat liputan meluas media cetak dan elektronik sehingga masyarakat mendesak Kementerian Pelajaran menjalankan kajian khusus untuk menangani isu berkenaan. Seterusnya isu itu berjaya diatasi Kementerian Pelajaran dengan memperkenalkan jadual waktu anjal di setiap sekolah, terutama sekolah rendah.


Sejak awal isu itu diperdebatkan, tidak berapa setuju ia diperbesarkan. Bagi saya, isu beg berat cukup remeh dan ia hanya diperbesarkan di kalangan ibu bapa yang terlalu memanjakan anak, terutama warga kota.


Kita semua maklum, setiap kelas mempunyai jadual waktu untuk menentukan apakah buku yang harus dibawa setiap hari. Sebanyak manakah beg sekolah boleh diisi dengan buku. Lainlah kalau pelajar disuruh membawa semua buku tanpa mengikut jadual.

Bagisaya, isu itu dapat diselesaikan dengan kebijaksanaan guru, tanpa campur tangan mana-mana pihak, sama ada ibu bapa mahupun Kementerian Pelajaran. Berbanding dengan zaman dulu menjadi pelajar dulu, beg sudahlah berat, terpaksa pula berjalan kaki berkilometer jauhnya, berulang alik ke sekolah.

Bagaimanapun, soal beg beg berat tidak pernah ditimbulkan. Itulah mantapnya pelajar zaman dulu berbanding pelajar sekarang. Setakat menggalas beg yang berat berisi buku, tidak menjadi hal. Apa yang menjadi masalah hanyalah beg yang digunakan itu cepat koyak dan terpaksa diganti baru.

Sepatutnya kita harus bersikap positif mengenai perkara itu. Beg yang digalas ke sekolah setiap hari, ibarat kita menggalas ilmu yang begitu bernilai dan tinggi martabatnya. Ia harus selalu berada bersama kita. Biarlah pelajar berkorban sedikit dan belajar menghargai buku dan sedar bahawa bukan mudah untuk berjaya dan menjadi manusia cemerlang.


Lagi pun kebanyakan pelajar hari ini, bukannya berjalan kaki ke sekolah. Mereka menaiki bas atau dihantar oleh ibu bapa. Paling tidak pun mereka menunggang basikal. Membawa beg yang agak berat ke sekolah juga boleh melatih pelajar menjadi kuat dan lasak. Ia satu bentuk latihan yang baik dan mencabar.

Ekoran daripada isu beg berat itu, kini timbul pula isu baru. Tetapi ia amat berlawanan berbanding isu beg berat. Menurut laporan Berita Minggu baru-baru ini, ramai pelajar kini enggan membawa buku teks ke sekolah. Barangkali inilah kesannya jika pelajar sudah ditanam untuk tidak menghargai buku, yang sepatutnya dianggap sebagai teman pelajar.

Agak menghairankan, macam mana pelajar mengikuti pelajaran di dalam kelas tanpa merujuk buku teks dan masalah itu dibiarkan sehingga menjadi satu budaya. Jika benar laporan itu sehingga menjadi budaya ramai pelajar kini, bermakna ia bukannya perkara baru, sebaliknya sudah lama berlaku.

Bagaimana guru boleh mengajar dengan pelajar tidak mempunyai buku teks masing-masing. Pada zaman penulis menjadi pelajar dulu, memang ada pelajar yang tidak membawa buku teks kerana terlupa. Selain dimarahi guru dan diberi amaran, pelajar disuruh berkongsi dengan pelajar lain yang mempunyai buku teks.

Ada beberapa alasan diberikan pelajar terbabit mengapa enggan membawa buku teks ke sekolah. Pertama mereka mengatakan beg berat, kedua kerana malas, dan ketiga mereka menyalahkan guru kerana tidak menggunakan buku teks ketika mengajar.

Masalah ini barangkali ada kaitannya dengan kesan isu beg berat yang dianggap menjadi beban kepada pelajar ketika mereka berada di sekolah rendah. Akibatnya mereka tidak tahu menghargai buku yang seharusnya dibawa ke sekolah setiap hari.

Alasan guru tidak menggunakan buku teks ketika mengajar tidak boleh dijadikan sebab untuk mereka enggan membawa buku teks ke sekolah, walaupun benar guru tidak selalu mengajar berpandukan buku teks. Kita harap isu ini tidak berpanjangan dan harus ditangani guru dengan bijaksana.

Selain itu ibu bapa juga tidak sepatutnya lepas tangan dan membiarkan masalah itu ditangani sepenuhnya pihak sekolah. Sebelum masalah itu bertambah serius, ibu bapa harus memeriksa beg yang dibawa anak mereka ke sekolah dari semasa ke semasa untuk memastikan beg yang dibawa berisi buku yang sepatutnya.

Kita juga bimbang kerana ada sesetengah pelajar yang mengisi beg sekolah dengan pakaian harian untuk dipakai selepas waktu sekolah dan berpeleseran di pusat hiburan dan tempat yang tidak sepatutnya. Jika ini dibiarkan berlaku, tidak hairanlah ramai pelajar yang terjebak dengan masalah sosial seperti merokok, penagihan dadah dan pelbagai masalah disiplin lain.

Pendidikan Global: The Harvard Crimson, akhbar universiti tertua di Amerika

Susunan Basir Zahrom
basir@bharian.com.my

KEBANYAKAN universiti pasti mempunyai majalah mahupun akhbar sendiri bagi menyiarkan berita atau peristiwa yang berlangsung di institusi pengajian tinggi (IPT) masing-masing.

Di negara ini penerbitan akhbar lazimnya diterbitkan secara bulanan, berbeza di negara Barat terutama di Amerika Syarikat dan United Kingdom setiap hari.

Akhbar The Harvard Crimson adalah antara lebih 800 akhbar diterbitkan IPT di Amerika Syarikat. Penerbitan popular lain University Daily Kansan, Yale Daily News, Iowa State Daily, Oklahoma Daily, Daily Orange, Spartan Daily, Indiana Daily Student dan Daily Collegian.


The Harvard Crimson diiktiraf sebagai akhbar universiti tertua di Amerika Syarikat yang masih beroperasi sehingga ke hari ini. Cetakan pertamanya pada 1873 di bawah pengurusan Universiti Harvard sendiri sebelum menjadi syarikat pada 1967.

Penerbitan awalnya ialah dalam bentuk majalah ‘The Magenta’ sebelum namanya sekarang. Akhbar itu kaya dengan tradisi integriti penulis serta memiliki kumpulan editorial terbaik di Amerika Syarikat.

Jawatan pengarang akhbar berkenaan biasanya dilantik di kalangan mereka yang berdedikasi, antaranya Franklin D Roosevelt (Presiden akhbar - 1904) dan John F Kennedy (Pengarang Ekonomi - 1940).

Kini, edisi yang diterbitkan secara harian mulai 1883 terus mengukir nama sebagai akhbar universiti tersohor di dunia.


Pelajar yang ingin menjadi sukarela akhbar berkenaan perlu menduduki ujian ‘Comp’ sebelum dipilih sebagai pengarang. Secara teknikal, kakitangan The Harvard Crimson termasuk penulis, jurugambar dan pereka grafik adalah pengarang.

Sebarang keputusan membabitkan editorial dan kewangan akan dibuat Majlis Eksekutif yang dipilih pada November setiap tahun. Proses itu dinamakan ‘turkey shoot’.

The Harvard Crimson satu-satunya akhbar harian universiti diedarkan awal pagi di sekitar Cambridge dan Massachusetts. Selepas 131 tahun penubuhannya, ia mula dicetak dengan warna penuh untuk masing-masing muka depan dan belakang.

Sebagai sumber bacaan tambahan yang tidak mengaut keuntungan, akhbar itu memberi fokus kepada liputan sukan bagi setiap Isnin, majalah mingguan ‘The Crimson’ (Khamis) dan seni (Jumaat).

Antara kejayaan yang membuktikan kredibiliti akhbar itu ialah menjadi antara media pertama di Amerika Syarikat menyiarkan keputusan pilihan raya presiden pada 4 November tahun lalu.

Selari dengan keperluan semasa, pembaca kini boleh membacanya menerusi edisi online di alamat http://www.thecrimson.com/

Cabaran jd cikgu zaman sekarang...

Guru BI disimbah asid

Oleh Zulhilmi Hat
hilmi@bharian.com.my


MANGSA cedera mata kanan dirawat di PPUM, Kuala Lumpur semalam.

Mata nyaris buta akibat diserang depan pintu pagar sekolah

KUALA LUMPUR: Seorang guru Bahasa Inggeris nyaris buta mata kanan selepas disimbah dengan cecair dipercayai asid oleh lelaki yang menunggang motosikal di luar pintu pagar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Bandaraya di sini, petang kelmarin.

Mangsa, 25 tahun yang tidak mahu namanya disiarkan terpaksa dikejarkan ke Pusat Perubatan Hospital Universiti Malaya (PPUM) selepas mata kanannya dimasuki cecair itu.

Ketika kejadian jam 4 petang itu, mangsa sedang menunggu suami untuk pulang ke rumah, bersama beberapa pelajar sekolah.


Katanya, ketika itu seorang lelaki menaiki motosikal jenis Honda, berpakaian hitam dan memakai topi keledar berpenutup penuh masuk ke kawasan sekolah.

"Saya ingatkan dia sedang mencari anaknya. Dia kemudian memberhentikan motosikal berhampiran saya dan mengeluarkan botol mineral mengandungi cecair berwarna merah dan menuangkannya ke dalam cawan plastik sebelum mencurahnya ke arah muka saya. Dia kemudian melarikan diri menaiki motosikalnya.

"Saya terkejut dan meraung kesakitan selepas cecair itu memasuki mata dan terkena muka. Terasa pedih amat sangat seperti terbakar, selain sesak nafas.

"Saya berlari masuk dan mencuci muka. Malah, baju saya juga berlubang akibat terkena cecair itu," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Akibat kejadian itu, kornea matanya 70 peratus terbakar, manakala kulit bawah matanya turut melecur.

Beliau tidak menolak kemungkinan menjadi mangsa keadaan.

Katanya, kira-kira seminggu lalu, berlaku salah faham antara sekumpulan pelajar dengan seorang guru lain di sekolah itu.

Katanya, kejadian itu mungkin menyebabkan timbul perasaan tidak puas hati di kalangan pelajar terbabit dan mengambil tindakan sedemikian seperti membalas dendam.

"Selama satu tahun dua bulan mengajar di sekolah ini, saya tiada musuh atau memarahi sesiapa yang boleh mengakibatkan timbul perasaan tidak puas hati.

"Saya tak tahu motif sebenar tetapi kes ini sudah dilaporkan kepada polis," katanya.

"Doktor yang merawat memberikan cuti kecemasan dan perlu mendapatkan rawatan pakar mata dari semasa ke semasa," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Talib yang dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Dua pendekatan untuk transformasi pendidikan

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengambil dua pendekatan yang membawa kepada transformasi dan rombakan yang radikal kepada sistem pendidikan negara menjelang tahun 2010.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata dua pendekatan itu akan diambil bagi membolehkan ia sesuai dengan tuntutan semasa, khususnya membabitkan murid sekolah rendah dan pra-sekolah.

"Pendekatan pertama adalah dengan mengkaji dan menilai semula kurikulum dan ko-kurikulum persekolahan. Bermakna program rintis yang kita lakukan ketika ini mengambil kira betapa pentingnya anak-anak kita di bangku sekolah rendah lagi memahami sejarah dan latar belakang asal usul mereka," katanya kepada pemberita di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.


Hishammuddin berkata, melalui pendekatan pertama itu, kementerian juga akan membangunkan sistem pentaksiran pendidikan kebangsaan (PPK) yang holistik untuk menilai bukan saja pencapaian akademik pelajar tetapi juga mengambil kira aspekintelek, rohani, jasmani, emosi dan secara bersepadu.

Beliau berkata dalam konteks itu, "penilaian berasaskan bilik darjah" akan diberi penekanan di mana Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) semata-mata tidak memadai untuk menapis pelajar cemerlang bagi ditempatkan di Sekolah Berasrama Penuh.

Hishammuddin berkata, pendekatan kedua adalah untuk melihat semula dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) selepas mengambil kira pandangan semua pihak, penyesuaian serta penambahbaikannya di sekolah rendah dan mengambil kira serta mengutamakan sekolah luar bandar.

Beliau berkata, melalui dasar PPSMI ini, kementerian sudah berada diperingkat akhir dalam meneliti, menganalisis dan mendengar pandangan semua pihak yang berkepentingan sebelum diserah kepada jemaah menteri.


"Sebelum itu, kertas yang akan diserahkan kepada jemaah menteri ini akan diedar kepada kementerian yang berkaitan bagi mendapatkan ulasan...susah hendak dijangka apakah keputusan jemaah menteri bila dibincangkan kelak kerana ia banyak bergantung kepada ulasan kementerian," katanya. - Bernama

Bahasa Melayu untuk Sains, Matematik tetap realistik

Dr Isahak Haron

Kajian TIMSS 2007 mendedahkan kemerosotan prestasi pelajar Malaysia dalam dua subjek teras lebih ketara

WALAUPUN Kementerian Pelajaran menerima pelbagai maklum balas mengenai pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), kerajaan masih menangguhkan keputusan sama ada mengekal atau kembalikan mengguna bahasa Malaysia.

Isu ini perlu dilihat secara menyeluruh. Apakah hasil kajian antarabangsa mengenai prestasi pelajar Malaysia dalam Matematik dan Sains? Pada 2007, kajian penting antarabangsa mengenai pencapaian Matematik dan Sains (pelajar Gred 8 atau Tingkatan 2) dilaksanakan membabitkan 59 negara oleh Trends in Internationhal Mathematics and Science Study (TIMSS 2007).


Hasil kajian 2007 menunjukkan skor purata pencapaian pelajar Malaysia dalam Matematik dan Sains merosot dengan ketara. Skor Matematik 2007 merosot kepada 474 mata berbanding 508 mata pada 2003 dan 519 bagi 1999, iaitu penurunan sebanyak 34 mata.

Skor Sains pula merosot kepada 471 mata pada 2007 daripada 510 pada 2003 dan 492 bagi kohort 1999. Ini mencatatkan penurunan 40 mata antara 2007 dan 2003.

Di kalangan 59 negara yang mengambil bahagian dalam kajian TIMSS 2007, yang dilaksanakan Sekolah Pendidikan Lynch, Boston College, Chestnut Hill, Massachusetts, Amerika Syarikat itu, ada negara yang skor purata pencapaian pelajarnya meningkat sedikit atau menurun sedikit.

Kemerosotan skor purata pencapaian pelajar Malaysia sebanyak 34 mata bagi Matematik dan 40 mata bagi Sains adalah signifikan, mengikut laporan itu dan terbesar sekali di kalangan 59 negara itu.


Berdasarkan laporan itu, hanya dua peratus pelajar Malaysia tergolong dalam kategori Advanced Benchmark Matematik dalam TIMSS 2007 berbanding enam peratus pada 2003.

Bagi kategori Highbench Mark (skor 550), peratus dalam kategori ini merosot kepada 18 peratus pada 2007 daripada 30 peratus pada 2003. Dalam Intermediate Benchmark (skor 475) pula merosot daripada 71 peratus dalam 2003 kepada 50 peratus bagi 2007. Penurunan Malaysia adalah paling ketara berbanding negara lain.

Berdasarkan perbandingan dengan negara lain, peratus pelajar Malaysia dalam ketiga-tiga kategori Matematik juga merosot. Dalam kategori Advanced Benchmark Mathematics TIMSS 2007, hanya dua peratus pelajar Malaysia berada dalam kategori ini berbanding Taiwan (45 peratus), Korea (40 peratus), Singapura (40 peratus), Jepun (26 peratus), Hungary (10 peratus), England dan Russia (lapan peratus), Amerika Syarikat (enam peratus) dan Serbia (lima peratus).

Dalam kategori 'High Benchmark 550' Matematik, hanya 18 peratus pelajar Malaysia tergolong kategori ini, berbanding Taiwan dan Korea (71 peratus), Singapura (70 peratus), Jepun (61 peratus) England (35 peratus), Hungary 36 (peratus), Russia (33 peratus), Amerika Syarikat (31 peratus), Australia dan Serbia (24 peratus) dan Romania (20 peratus).

Secara bandingan dengan negara lain, peratus pelajar Malaysia yang tergolong dalam ketiga-tiga kategori pencapaian Sains juga merosot secara mendadak.

Ulasan laporan TIMSS mengenai faktor yang dikaitkan dengan pencapaian Matematik dan Sains ialah di kebanyakan negara, pelajar yang menyatakan mereka belajar Matematik dan Sains dalam bahasa keluarga (home language) puratanya lebih tinggi pencapaian ujian TIMSS berbanding pelajar yang belajar kedua-dua mata pelajaran ini dalam bukan bahasa keluarga atau bahasa kedua/asing.

Hasil kajian TIMSS ini menunjukkan wujud hubungan rapat antara proses pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa asing, selain bahasa ibunda dengan kelemahan dalam prestasi subjek berkenaan.

Peranan penting bahasa keluarga dalam pembelajaran akademik, misalnya Matematik dan Sains, banyak dikaji. Hasil kajian ini menunjukkan kemahiran kognitif (berfikir) akademik berkembang terutama melalui bahasa pertama.

Apabila pelajar cuba belajar bahasa kedua dan terus belajar misalnya Matematik dan Sains melalui bahasa kedua, pelajar akan menggunakan kemahiran kognitif akademik yang lemah, iaitu pelajar sukar mempelajarinya.

Pendidikan dalam bahasa keluarga amat kritikal untuk kanak-kanak mencapai tahap kematangan mental iaitu kemahiran memahami dan membina konsep secara membina misalnya proses pembelajaran dalam subjek Matematik dan Sains.

Penjelasan ini relevan dalam konteks hasil kajian dan ulasan TIMSS yang menunjukkan pencapaian Matematik dan Sains pelajar mengguna bahasa keluarga untuk pengajaran dan pembelajaran kedua-dua mata pelajaran ini secara purata lebih tinggi berbanding mereka yang belajar subjek berkenaan dalam bahasa kedua. Ini kerana bahasa keluarga di sekolah memudahkan pelajar memahami konsep subjek berkenaan.

Semua negara dalam kajian TIMSS 2007 yang pelajarnya mengguna bahasa keluarga dalam pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah seperti Taiwan, Korea, Jepun, Singapura, England dan Romania mencapai skor yang tinggi.

Bagaimana kes Singapura? Penggunaan bahasa Inggeris dalam Matematik dan Sains di Singapura adalah hampir sama dengan bahasa keluarga kebanyakan pelajar, sejak lebih 30 tahun lalu dan bahasa Inggeris meluas diguna dalam komunikasi harian di Singapura.

Berdasarkan dapatan kajian ini, Unesco mencadangkan bahasa keluarga digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah bagi memudah dan mengukuh kefahaman konsep kepada pelajar.

Malah, semua negara dalam Kesatuan Eropah menerima dasar untuk mengajar mata pelajaran utama seperti Matematik dan Sains dalam bahasa ibunda, manakala bahasa kedua wajib yang boleh dipilih ialah bahasa Inggeris, Perancis dan Jerman.

Di Malaysia, pada 2003, pelajar tingkatan dua yang menjadi sampel kajian TIMSS 2003 belum terbabit dalam dasar belajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris. Mereka belajar dalam bahasa Malaysia dan prestasi mereka dalam kajian TIMSS bagi kedua-dua kohort 1999 dan 2003 itu adalah baik dan membanggakan.

Ia kerana pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu memudahkan kebanyakan pelajar mempelajari dan memahami Matematik dan Sains.

Kajian sekumpulan pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 2008 dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2006 menunjukkan 70 hingga 80 peratus pelajar Tingkatan Dua menyatakan mereka sukar mengikuti pengajaran guru Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

Berdasarkan huraian di atas, kita boleh buat kesimpulan bahawa faktor utama yang boleh dihubungkait dengan kemerosotan mendadak prestasi Matematik dan Sains pelajar Malaysia dalam kajian TIMSS 2007 ialah pertukaran penggunaan bahasa penghantar Matematik dan Sains di sekolah dari bahasa Melayu ke bahasa Inggeris, iaitu bahasa kedua atau asing bagi kebanyakan pelajar, terutama pelajar Melayu.

Penggunaan bahasa Inggeris menyukarkan kebanyakan pelajar belajar dan memahami Matematik dan Sains. Sukar kita mencari sebab lain yang munasabah kenapa kemerosotan mendadak ini berlaku dalam TIMSS 2007 berbanding dengan 2003 dan 1999.

Bagi Matematik jatuh dari 508 mata pada 2003 ke 474 pada 2007; dan bagi Sains pula jatuh dari 510 pada 2003 ke 471 pada 2007. Kemerosotan mendadak ini adalah yang terbesar di kalangan 59 negara yang mengambil bahagian. Prestasi pelajar kita dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia juga merosot.

Perlu diingat bahawa Matematik dan Sains di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) diajar dalam bahasa Cina, bukan dalam bahasa Inggeris. Bagi sekolah kebangsaan (SK) pula, semua murid belajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris iaitu bukan bahasa keluarga mereka.

Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 secara bandingan menunjukkan peratus murid SRJKC mencapai gred cemerlang meningkat, sementara prestasi murid SK pula merosot. Kebanyakan murid SK sukar memahami Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris, dan 70 peratus daripada mereka memilih membaca dan menjawab soalan Sains UPSR dalam bahasa Melayu. Lebih 90 peratus murid SRJK Cina memilih menjawab Matematik dan Sains UPSR dalam bahasa Cina, tidak dalam bahasa Inggeris.

Kesan negatif ketara berikutan pelaksanaan PPSMI adalah pendidikan Matematik dan Sains di Sekolah Kebangsaan, sekolah yang lebih 90 peratus murid Melayu/Bumiputera menerima pendidikan Matematik dan Sains.

Sepanjang enam tahun lalu mereka belajar dua mata pelajaran penting ini dalam bahasa Inggeris (bukan bahasa keluarga). Pembelajaran dan prestasi mereka lemah. Dasar PPSMI ini tidak menjejaskan pembelajaran dan prestasi murid SRJKC kerana mereka terus belajar Matematik dan Sains dalam bahasa Cina dan ditambah dengan istilah Inggeris.

Kajian UPSI (2008) mendapati lebih 70 peratus pelajar Melayu/Bumiputera di SK terutama golongan sosioekonomi rendah di bandar dan luar bandar berdepan kepayahan belajar kedua-dua mata pelajaran berkenaan dalam bahasa Inggeris. Keadaan ini akan berterusan.

Oleh kerana asas Matematik dan Sains pada peringkat rendah ini lemah, kelemahan ini secara kumulatif dibawa ke peringkat menengah dan tinggi. Golongan yang mendapat faedah daripada pelaksanaan PPSMI ini ialah 20 hingga 30 peratus pelajar daripada keluarga profesional, menengah dan bandar, yang sebahagian besarnya mengguna bahasa Inggeris sebagai salah satu bahasa keluarga.

Adalah satu 'anggapan palsu' (fallacy) bahawa kecekapan dalam bahasa Inggeris itu menjadi prasyarat penting untuk membolehkan pelajar meneruskan pelajaran tinggi dalam bidang sains, teknologi dan profesional. Yang sebenarnya adalah sebaliknya. Pengetahuan yang kukuh dalam Matematik dan Sains pada peringkat rendah dan menengah menjadi prasyarat pengajian tinggi dalam pelbagai bidang sains dan teknologi, bukan bahasa Inggeris.

Ertinya jika pelajar lemah dalam pengetahuan Matematik dan Sains, mereka sukar melanjutkan pelajaran peringkat tinggi dalam bidang sains dan teknologi, bukan kelemahan dalam bahasa Inggeris. Pengetahuan yang kukuh dalam Sains dan Matematik (sebelum terlaksana PPSMI) membolehkan pelajar kita menyambung pelajaran tinggi dengan mudah di United Kingdom, Amerika Syarikat, Perancis, Jepun, Korea, Jerman, Russia, selain dalam bahasa Melayu di Malaysia dan Indonesia.

Dengan mudah mereka belajar bahasa kedua untuk meneruskan pengajian mereka sebab pengetahuan Matematik dan Sains mereka kukuh. Perkembangan latihan modal insan dalam sains, teknologi dan profesional akan terjejas teruk terutama di kalangan bangsa Melayu/Bumiputera.

Dasar PPSMI mengecilkan peratus dan bilangan pelajar Melayu yang cekap dalam Matematik dan Sains untuk pengajian tinggi dalam bidang sains, teknologi dan profesional. Strategi pembangunan modal insan melalui dasar PPSMI adalah strategi yang salah untuk membina keupayaan modal insan sains dan teknologi anak bangsa.

Ia terus membantut keupayaan ekonomi mereka dan perkembangan ekonomi seterusnya. Ini akan melebar jurang antara kaum dan kelas sosioekonomi dan boleh menjejaskan kestabilan negara.

Strategi yang munasabah dan realistik untuk menyediakan pendidikan berkualiti dan bermakna bagi pelajar kita ialah kembali semula kepada dasar mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu kerana hasil Kajian TIMSS 1999 dan 2003 membuktikan prestasi pelajar kita dalam Matematik dan Sains dalam kohort yang diajar dalam bahasa Melayu itu tinggi.

Sebaliknya kohort yang diajar dalam bahasa Inggeris (PPSMI) 2007 itu prestasi ujian Matematik dan Sains TIMSS 2007 mereka merosot dengan ketara, kerana kebanyakan mereka sukar belajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

Pelaksanaan dasar kembali mengguna bahasa Melayu untuk Sains dan Matematik tidaklah sesukar seperti yang cuba digemburkan. Baiki kurikulum dan pendekatan bahasa Inggeris untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar sekolah rendah dan menengah kita. Ini tidak sukar dilaksanakan.

Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron ialah Profesor pendidikan di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim merangkap Ketua Pengkaji Kesan PPSMI Terhadap Prestasi Mata Pelajaran Matematik dan Sains di Sekolah Rendah dan Menengah 2008