Wednesday, March 4, 2009

Pendidikan Global: The Harvard Crimson, akhbar universiti tertua di Amerika

Susunan Basir Zahrom
basir@bharian.com.my

KEBANYAKAN universiti pasti mempunyai majalah mahupun akhbar sendiri bagi menyiarkan berita atau peristiwa yang berlangsung di institusi pengajian tinggi (IPT) masing-masing.

Di negara ini penerbitan akhbar lazimnya diterbitkan secara bulanan, berbeza di negara Barat terutama di Amerika Syarikat dan United Kingdom setiap hari.

Akhbar The Harvard Crimson adalah antara lebih 800 akhbar diterbitkan IPT di Amerika Syarikat. Penerbitan popular lain University Daily Kansan, Yale Daily News, Iowa State Daily, Oklahoma Daily, Daily Orange, Spartan Daily, Indiana Daily Student dan Daily Collegian.


The Harvard Crimson diiktiraf sebagai akhbar universiti tertua di Amerika Syarikat yang masih beroperasi sehingga ke hari ini. Cetakan pertamanya pada 1873 di bawah pengurusan Universiti Harvard sendiri sebelum menjadi syarikat pada 1967.

Penerbitan awalnya ialah dalam bentuk majalah ‘The Magenta’ sebelum namanya sekarang. Akhbar itu kaya dengan tradisi integriti penulis serta memiliki kumpulan editorial terbaik di Amerika Syarikat.

Jawatan pengarang akhbar berkenaan biasanya dilantik di kalangan mereka yang berdedikasi, antaranya Franklin D Roosevelt (Presiden akhbar - 1904) dan John F Kennedy (Pengarang Ekonomi - 1940).

Kini, edisi yang diterbitkan secara harian mulai 1883 terus mengukir nama sebagai akhbar universiti tersohor di dunia.


Pelajar yang ingin menjadi sukarela akhbar berkenaan perlu menduduki ujian ‘Comp’ sebelum dipilih sebagai pengarang. Secara teknikal, kakitangan The Harvard Crimson termasuk penulis, jurugambar dan pereka grafik adalah pengarang.

Sebarang keputusan membabitkan editorial dan kewangan akan dibuat Majlis Eksekutif yang dipilih pada November setiap tahun. Proses itu dinamakan ‘turkey shoot’.

The Harvard Crimson satu-satunya akhbar harian universiti diedarkan awal pagi di sekitar Cambridge dan Massachusetts. Selepas 131 tahun penubuhannya, ia mula dicetak dengan warna penuh untuk masing-masing muka depan dan belakang.

Sebagai sumber bacaan tambahan yang tidak mengaut keuntungan, akhbar itu memberi fokus kepada liputan sukan bagi setiap Isnin, majalah mingguan ‘The Crimson’ (Khamis) dan seni (Jumaat).

Antara kejayaan yang membuktikan kredibiliti akhbar itu ialah menjadi antara media pertama di Amerika Syarikat menyiarkan keputusan pilihan raya presiden pada 4 November tahun lalu.

Selari dengan keperluan semasa, pembaca kini boleh membacanya menerusi edisi online di alamat http://www.thecrimson.com/

No comments: